1BORNEO HYPERMALL SEDIA KAUNTER DERMA DARAH UNTUK BEKALAN HWKKS

KOTA KINABALU : Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah (HWKKS) kini boleh menarik nafas lega selepas pengurusan 1Borneo Hypermall tampil membantu meningkatkan kesedaran orang ramai untuk menderma darah kepada hospital itu.

Melalui kerjasama itu, 1Borneo Hypermall akan membuka kaunter menderma darah pada setiap hujung minggu di pusat beli-belah itu untuk membolehkan pengunjungnya menderma darah kepada HWKKS.

Ketua Unit Perubatan Transfusi HWKKS, Dr Jamaludin Mail berkata, kesudian pihak 1Borneo Hypermall memberi ruang dan berkerjasama dalam memberi kesedaran menderma darah adalah suatu yang amat penting bagi hospital ini.

“Ini kerana sepanjang negara berhadapan pendemik Covid-19, HWKKS mengalami kekurangan bekalan darah hingga paras membimbangkan dan apabila pihak 1Borneo menyatakan ingin berkerjasama, ia sesuatu yang amat dihargai dan kami mengucapkan ribuan terima kasih.

“Melalui kerjasama ini pihak hospital akan membuka reruai kempen derma darah di centre autrium, hadapan pentas utama di pusat beli-belah berkenaan pada setiap hari Sabtu dan Ahad sehingga minggu ketiga ini iaitu pada 19 Julai.

“Sepanjang tempoh ini kami mensasarkan akan memperoleh sebanyak 100 pain darah setiap minggu dan jika ianya mampu tercapai kita akan berjaya meningkatkan bekalan darah sehingga 50 peratus simpanan.

“Untuk minggu pertama ini, kita berjaya memperolehi sebanyak 84 pain darah dengan jumlah yang memohon untuk menderma adalah sebanyak 110 orang.

“Selain itu, untuk minggu pertama kempen ini turut mendapat bantuan dari persatuan bukan kerajaan iaitu Pangrok Sulap Kolektif dimana setiap penderma yang berjaya menderma akan menerima sehelai baju Tshirt sebagai menghargai bantuan berkenaan dan pada minggu selanjutnya kami mempelawa penderma untuk terus memberi sokongan walau tanpa ada sebarang cenderamata,” katanya selepas penyampaian cenderamata kepada wakil 1Borneo Hypermall semalam.

Manakala bagi pengerusi Persatuan Pangrok Sulap, Rizo Leong berkata, pemberian Tshirt percuma ini adalah salah satu kerja amal mereka dalam memberi dorongan kepada orang awam untuk membantu selamatkan pesakit melalui pendermaan darah.

Ujarnya lagi, semoga bantuan yang kami berikan ini mampu untuk menarik seramai mungkin para penderma darah dan kami sedia membantu dan berkerjasama dengan mana-mana organisasi lain untuk melaksanakan aktiviti amal kepada masyarakat.

Bagi mana-mana syarikat atau pertubuhan yang ingin terus berkerjasama mengadakan Kempen Kesedaran Menderma Darah boleh menghubungi Hospital Wanita dan Kanak-Kanak ditalian 088-437184 atau email : unittabungdarahlikas@gmail.com atau menghubungi pegawai Seranta yang bertugas Yahya Abdul Rajak di talian 013-3540390 untuk sebarang pertanyaan mengenai kempen derma darah.

Sumber: https://www.borneotoday.net/1borneo-hypermall-sedia-kaunter-derma-darah-untuk-bekalan-hwkks/